Sunday, 1 January 2012

Jangan Mudah Tertipu

Kawan! Jangan lupa peringatan Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, maksudnya;

"Ada dua nikmat yang menyebabkan ramai manusia tertipu di dalamnya iaitu; kesihatan dan    kesempatan."

     Benar bukan? Bila badan kita sihat dan segar bugar ke manapun senang dan bersemangat. Makan apa sahaja semahu hati sampai-sampai sudah masuk kategori kemaruk makan. Waktu kita begitu sihat, kita lupa yang kita juga boleh atau bakal sakit. Bukan menjadi hairan pula ketika sihat, kita melakukan apa saja sesuka hati semahu perut, termasuk yang dekat-dekat dengan dosa. Kesihatan memang nikmat yang boleh menipu kita, membuatkan kita lupa dari aktiviti yang semestinya kita lakukan.

     Begitu juga dengan kesempatan. Kalau masih ada masa terluang, kita lebih suka bersantai dan bermalas-malasan. Cuba, jika tiba musim liburan, serta-merta kita bersorak kegirangan. Hati kita berbunga-bunga. Bukan disebabkan kita dapat mengerjakan aktiviti yang tidak dapat dilakukan saat kita bersekolah atau kuliah, tetapi kerana semata-mata waktu terluang yang kita anggap itulah saatnya bersantai dan melepaskan penderitaan selama belajar di sekolah atau menghadiri kuliah.

     Ya, kesempatan juga mampu menipu kita. Padahal andai kita faham, waktu terluang itu semestinya digunakan untuk kegiatan yang bermanfaat dan berpahala. Namun kenyataannya sedikit sekali yang mengerti. Sudah terhantuk baru mahu terngadah. Ketika masih jauh dengan waktu peperiksaan atau ujian, kita menjadi terlalu bersahaja dan tidak memikirkannya. Tetapi apabila sudah tiba atau dekatnya hari peperiksaan, baru kita tidak senang duduk diam, mencari dan membaca bahan untuk dipelajari. Maklumlah, selama itu tidak pernah diendahkan tentang pelajaran. Kalau begitu, buat apa sekolah atau kuliah? Kalau sekadar banyak waktu terbuang percuma. Jadi, sayangi dirimu! Jika tidak, macam mana akan ada generasi yang hebat-apabila bakal sang bapa dan si ibu pun kemalasan.

No comments:

Post a Comment