Mungkin tika ini kau sedang bahagia , mungkin juga kau sedang berduka. Apa pun situasimu ,air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah s.w.t yang tak terhingga. Ia mampu membuang racun ditubuhmu disusuli ketenangan jiwa .Bersyukurlah pada-Nya hingga saat ini kau masih mampu menangis..
ADUH..!!
Sungguh hairanku melihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan. Malah menganggap tangisan itu satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya:
“Dan mereka menyungkur(sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk “. ( surah al-isra’ 17:109)“
"Apabila dibaca ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka ,maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis . “(surah maryam 19:58)
DUHAI MATA YANG SEDANG MENANGIS..
Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata yang semulajadi boleh membuangnya. Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu sahaja, tangisan menambah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. Subhanallah, hebat sungguh penciptaan air mata..
DUHAI MATA YANG SEDANG MENANGIS..
Tangisan bukan satu keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.
Jika kau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dakam mengendali kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dan perasaanmu sendiri dengan didikan silam. Apa pun, tak siapa dapat menafikan kau juga insane yang punya hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kerna kelak badanmu mendapat darurat..
Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki..Tahukah dirkau,penyayang-Nya Allah s.w.t padamu hingga dia menciptakan kelenjar2 air matamu lebih besar daripada kelenjar2 air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak dari lelaki..
Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.
DUHAI MATA YANG SEDANG MENANGIS..
Sungguh bertuah kau mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhan. Benar tangisanmu tidak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibit kabus pada masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.
Sesungguhnya tangisan kerna Allah s.w.t . ketika gembira atau derita ialah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kalam yang Esa, “Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i)